Thursday, August 20, 2015

Mencederakan Diri Sendiri

Mencederakan diri sendiri (self-harm)
Mencederakan diri sendiri boleh menjadi satu cara untuk menghadapi masalah bagi sesetengah orang. Ia dikatakan dapat membantu meluahkan perasaan yang tidak dapat diungkapkan dalam kata-kata, mengalih perhatian daripada kesukaran kehidupan, atau melepaskan tekanan emosi. Setelah mencederakan diri, seseorang itu mungkin berasa lebih baik sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Tetapi tekanan emosi mereka kembali, mereka akan terasa ingin mencederakan diri sendiri lagi.

Cara-cara mencederakan diri sendiri

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan pada tahun 2006 dalam Self-injurious Behavior in College Population oleh Whitlock et al., yang dilakukan terhadap lebih daripada 2800 orang pelajar kolej, 17 daripada mereka dilaporkan pernah melakukan kegiatan mencederakan diri sendiri. Antara jenis-jenis mencederakan diri yang lazim dilakukan ialah:
  1. Mencakar atau mencubit - tingkah laku ini adalah termasuk mencakar atau mencubit dengan teruk menggunakan kuku. Kesan terhadap tingkah laku tersebut dapat dilihat dan kadang kala melibatkan pendarahan.
  2. Impak ke atas objek - tingkah laku ini termasuklah menghantuk, menumbuk dan memukul sesuatu objek sehingga terdapat kesan lebam atau pendarahan.
  3. Mengerat (cutting) - kaedah ini adalah bersinonim dengan mencederakan diri. Kaedah ini biasanya digunakan dalam satu daripada tiga orang yang mencederakan diri sendiri dan ia juga lazimnya dilakukan oleh golongan wanita.
  4. Impak terhadap diri sendiri - tingkah laku ini merupakan memukul diri sendiri dengan apa jua cara sehingga mencederakan.
  5. Mengopek atau mengupas kulit - pencederaan ini termasuk mengupas, mengopek, mengoyakkan kulit.
  6. Mengukir - kaedah ini hampir serupa dengan mengerat tetapi kecederaan dilakukan dengan mengukir tulisan atau simbol-simbol ke atas tubuh badan.
  7.   Mengganggu penyembuhan - cara ini merupakan gabungan beberapa cara lain dalam mmencederakan diri dengan tujuan memudaratkan kesan luka dan kecederaan atau melambatkan proses penyembuhan kecederaan yang dialami.
  8. Membakar- membakar kulit juga merupakan kaedah mencederakan diri sendiri.
  9. Menggeserkan objek ke atas kulit - kaedah ini melibatkan perbuatan menggeserkan atau menggosokkan objek tajam, seperti kaca dan penutup botol ke atas kulit.
  10. Mencabut rambut - kaedah ini secara perubatannya dikenali sebagai trichotillomania. Dalam kes ini, individu didapati cenderung mencabut rambut mereka sendiri.

Fakta berkenaan dengan mencederakan diri sendiri

Fakta atau auta?: Individu yang mencederakan diri sendiri hanya inginkan perhatian orang.
 Sebenarnya ramai yang akan merahsiakan tentang kegiatan mereka mencederakan diri sendiri. Mereka tidak menginginkan perhatian, malah, ada yang takut untuk meminta bantuan.

Fakta atau auta?: Individu yang mencederakan diri adalah pesakit mental dan berbahaya.
Sememangnya benar bahawa individu yang mencederakan diri sendiri mempunyai masalah dari segi emosi, ataupun menghadapi tekanan mental yang terlalu tinggi. Perbuatan mencederakan diri merupakan salah satu cara bagi mereka untuk melarikan diri daripada masalah mereka. Walau bagaimanapun, mengelar mereka gila atau merbahaya adalah tidak wajar dan tidak akan membantu mereka.

Fakta atau auta?: Perbuatan mencederakan diri sendiri adalah bertujuan untuk membunuh diri.
Lazimnya, individu yang mencederakan diri sendiri ini tidak mempunyai niat untuk menamatkan riwayat mereka. Terdapat segelintir yang mengatakan bahawa mereka mencederakan diri adalah dengan tujuan meneruskan hidup. Namun, dalam jangka masa panjang, terdapat kemungkinan bahawa perbuatan mencederakan diri sendiri ini akan mendorong mereka untuk membunuh diri.


Tanda-tanda bagi mengenal pasti keluarga atau rakan-rakan yang mencederakan diri sendiri
Selalunya kesan-kesan mencederakan diri sendiri akan susah untuk dikesan disebabkan pemakaian seseorang. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, tanda-tanda berikut merupakan sesuatu yang lazim bagi seseorang yang mencederakan diri sendiri:

  • Kesan luka atau parut yang lazimnya berada di pergelangan tangan, peha atau dada dan sukar sukar untuk dikenal pasti bagaimana luka tersebut terjadi.
  • Kesan darah yang terdapat pada pakaian, tuala, dan tisu-tisu yang telah digunakan.
  • Benda-benda tajam seperti pisau, jarum, serpihan kaca, pin yang sentiasa dibawa.
  • Kecuaian yang dijadikan sebagai alasan untuk menjelaskan luka-luka yang terjadi.
  • Suka bersendirian, terutamanya dalam jangka masa yang agak lama.
Cara-cara membantu seseorang yang mencederakan diri sendiri (hanya cadangan):
Menghentikan perbuatan mencederakan diri sendiri dengan serta-merta merupakan satu perkara yang mustahil. Sekiranya anda ingin rakan dan ahli keluarga anda untuk berhenti mencederakan diri sendiri, bawalah mereka berbincang tentang masalah mereka ataupun rujuk kepada pihak pakar, seperti ahli psikologi atau kaunselor. Perkara yang paling penting adalah untuk tidak menghakimi perbuatan mereka kerana mereka akan menjadi lebih tertekan.


Berikut merupakan senarai tentang perkara-perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu seseorang yang mencederakan diri sendiri:

  • Meminta mereka untuk meluahkan perasaan mereka. Ataupun setidaknya, menanyakan perasaan mereka agar mereka lebih mudah untuk menceritakan perkara sedih yang dialami,
  • Jangan sesekali mengatakan atau menunjukkan bahawa anda tidak suka atau tidak senang dengan perbuatan mereka mencederakan diri sendiri 
  • Beritahu mereka yang anda sentiasa bersedia untuk membantu mereka dan sentiasa berada di sisi mereka. 
  • Tidak menggunakan kaedah ugutan, seperti, "Kalau kamu tidak berhenti, saya akan pindahkan kamu ke sekolah lain." Kaedah ini sebenarnya tidak akan membawa kesan, malah berkemungkinan akan menjadikan keadaan mereka lebih parah.
  • Memahami bahawa berhenti mencederakan diri bukanlah suatu perkara yang mudah dan memerlukan sseorang itu benar-benar bersedia barulah dapat dilaksanakan.
 Artikel ini ditulis berdasarkan beberapa pembacaan yang dilakukan dan hanya bertujuan untuk perkongsian maklumat sahaja. Semoga dapat digunakan dengan sebaiknya.